Latar Belakang

|

SEJARAH SEKOLAH




Pada tahun 1917 sekolah ini dibuka secara bergotong-royong di batu 19 ¼ Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka. Pada tahun 1918 ia berpindah ke Simpang Tiga di balai bomba ketika itu oleh kerajaan. Bangunan ini ialah bekas balai polis yang ada pada masa itu yang dipanggil Rumah Pasung. Nama sekolah itu ialah Bukit Beringin Vernecular School.



Bentuk bangunan Bukit Beringin Vernecular School ini ialah empat segi; satu tingkat, bertiangkan batu dan dindingnya papan. Belakang bangunan ini berbukit dan di atas bukit ini hidup sebatang pokok yang dikenali sebagai Pokok Beringin. Nama sekolah ini diambil sempena nama pokok tersebut. Guru Besar yang mula-mula bertugas di sekolah ini ialah Cikgu Omar Bin Ladin. Guru penolongnya dua orang sahaja dan keramaian muridnya ialah 80 orang, terdiri daripada murid lelaki sahaja. Darjah yang tertinggi ialah darjah 3

Apabila keramaian muridnya bertambah, sekolah baru dibuka 0.5 km dari tapak lama, iaitu pada tahun 1942. Pada tahun 1945, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Melayu Bukit Beringin. Darjah yang tertinggi pada masa itu ialah darjah 5. Keramaian murid semakin hari semakin bertambah. Pada bulan Januari 1961, telah diadakan projek gotong-royong bagi menampung kesesakan murid yang semakin meningkat. Pada tahun 1971, sebuah bangunan satu tingkat didirikan di mana ia terdiri daripada sebuah tandas, bilik Guru Besar, sebuah bilik kerani, sebuah stor, sebuah bilik guru, tandas murid lelaki dan perempuan, serta tandas guru lelaki dan perempuan.

Pada bulan Disember tahun 1989, semua bangunan yang ada telah dirobohkan. Perabot-perabot yang ada diagih-agihkan dan terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Sri Laksamana, Masjid Tanah pada sebelah petang selama dua tahun. Pada penghujung bulan Oktober 1991 barulah bangunan ini siap dibina dan diserahkan semula pada 15 November 1991. Bangunan empat tingkat ini mengandungi 10 bilik darjah, sebuah bilik sumber, sebuah bilik tayang, sebuah bilik guru, sebuah bilik manipulatif, sebuah bilik solat, tandas murid lelaki dan perempuan, dua buah bilik wudhu’ dan sebuah kantin didirikan bersama.

Keramaian murid semakin bertambah daripada 10 aliran menjadi 14 aliran. Oleh itu, untuk menampung keperluan kelas, beberapa bilik khas seperti bilik solat, bilik tayang bahkan tandas telah diubah suai menjadi bilik darjah dan bilik komputer. Pada tahun 1996, sebuah surau telah didirikan hasil pungutan derma daripada orang ramai untuk kegunaan murid-murid.

Pada tahun 2004, kerajaan telah meluluskan pembinaan makmal komputer. Makmal komputer ini dilengkapi dengan 21 buah komputer beserta rangkaian internet (School Net) bagi pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada peningkatan pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Makmal komputer ini telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada bulan Ogos 2005

Pada tahun 2006, jumlah murid semakin meningkat iaitu 513 orang murid, 29 orang tenaga pengajar dan 3 orang guru J-Qaf. Murid-murid Tahun 1 berpeluang menghadiri kelas J-Qaf yang mula diperkenalkan pada awal tahun. Pada penghujung tahun 2007, sekolah mendapat peruntukan untuk Pusat Akses. Sebanyak 10 buah komputer telah dibekalkan bagi kegunaan murid, guru dan komuniti luar. Pusat Akses ini mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2008

Pada tahun 2008 bilangan murid adalah seramai 425 orang. Kelas pemulihan telah berpindah ke bilik darjah yang lebih selesa. Bilangan kelas menjadi 13 aliran. Dengan prasarana yang ada diharapkan warga sekolah dapat menikmati kemudahan yang disediakan.

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej Anda Disini


ShoutMix chat widget
 

©2009 SK BUKIT BERINGIN ONLINE 2011 | Template Blue by GPB